Suzuki Motor Thailand tayang ‘teaser’ V-Strom 250 SX, pelancaran hujung bulan ini, Malaysia terus menunggu!

Salah satu motosikal ‘Adventure touring’ aras mula Suzuki iaitu V-Strom 250SX dijadual memasuki satu lagi pasaran negara berjiran, Thailand dan dijangka ditayangkan ketika acara Expo Motor Antarabangsa Thailand 2022, awal bulan depan. 

Juga baca: Suzuki V-Strom SX (2022) debut di India, harga RM 11.7k, padu jika tiba di Malaysia?

Perkembangan yang boleh mencetus rasa ‘iri hati’ kepada peminat jenama itu di Malaysia diperoleh menerusi hantaran Suzuki Motor Thailand di laman Facebook rasmi syarikat itu, baru-baru ini.

Mengikut laporan media automotif tempatan, Suzuki Malaysia sedang menjalankan ujian terhadap V-Strom 250 namun tidak perkembangan lanjutan yang menarik mengenainya setakat ini.

Sebagai info, Suzuki V-Strom 250 diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2017 dan varian terbaharu model itu Suzuki V-Strom 250 SX membuat debut globalnya tahun ini di pasaran India. 

Antara destinasi yang sudah menerima model berkenaan adalah Filipina dan Indonesia yang turut menayangkan model berkenaan ketika Pameran Motosikal Indonesia (IMOS) 2022.

Juga baca: Suzuki V-Strom 250 SX (2023) mendarat di Filipina, harga asas RM 18.6k, Malaysia menyusul?

Mengulas ringkas spesifikasi, model suku liter itu dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Minyak, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkannya adalah sekitar 26 Hp pada 9,300 rpm dengan tork 22.2 Nm pada 7,300 rpm.

Tidak diketahui mengenai spesifikasi lanjut untuk Suzuki V-Storm 250 SX di pasaran Thailand tetapi di Filipina, ia tidak dilengkapi dengan teknologi Bluetooth untuk sambungan ke telefon bimbit menerusi Suzuki Ride Connect, ciri yang ada di pasaran India.

Sebagai motosikal kembara, motosikal ini mempunyai ketinggian pelana 835 mm, jarak lega bumi 205 mm dan dilengkapi tangki bahan api 12 liter untuk pengembaraan jarak jauh.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional dengan jarak travel 120 mm dan penyerap hentak tunggal belakang dengan ciri boleh laras (preload) dengan set brek menggunakan brek cakera tunggal depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Juga baca: Suzuki V-Strom 250SX (2023) ditayang di Indonesia, pelancaran tahun depan, harga dijangka sekitar RM 18k!

Set roda adalah bersaiz 100/90-19 (depan) dan 140/70-17 (belakang), berat 167 kg dan panel meter digital penuh.

Di Filipina, Suzuki Motor Filipina sedang mengambil tempahan untuk model berkenaan dengan penghantaran dijadual pada suku pertama tahun depan manakala di Indonesia, ia dijadual berada di pasaran pada tahun depan. 

Juga baca: Tak lama lagi, Suzuki V-Strom 250 SX (2022) sedang jalani ujian di Malaysia?

Source: Suzuki Motor Thailand tayang ‘teaser’ V-Strom 250 SX, pelancaran hujung bulan ini, Malaysia terus menunggu!