LRT Laluan Kelana Jaya OK tak tu? Perkhidmatan hari pertama stabil, pakar teknikal memantau

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang berdepan masalah teknikal minggu lalu kini dilaporkan beroperasi dengan stabil.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan semalam berkata operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah stabil setakat jam 4 petang semalam (14 November), iaitu hari pertama ia beroperasi sejak perkhidmatannya digantung selama lima hari pada minggu lalu.

Bagaimanapun, terdapat gangguan sementara pada sistem bukan kritikal keselamatan pada jam 12.43 tengahari semalam sehingga menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai. Namun, ianya telah dipulihkan dalam masa 15 minit, jelasnya lagi.

“Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas,” tulis kenyataan itu.

Susulan masalah teknikal yang membelenggu perkhidmatan tersebut sehingga ia terpaksa digantung demi keselamatan pengguna, kelancaran keseluruhan sistem LRT Laluan Kelana Jaya akan terus dipantau oleh pakar teknikal Rapid Rail bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat untuk semua pengguna.

Selain itu, tinjauan di stesen-stesen utama di sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar dan kesesakan penumpang di stesen-stesen juga telah berkurangan.

“Sebagai langkah persediaan, sejumlah 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi pilihan alternatif serta kemudahan kepada orang awam.

“Perlaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang telah diumumkan juga bermula pada hari ini dan kakitangan stesen telah membantu memberi penerangan kepada penumpang,” jelasnya lagi.

Juga baca: LRT rosak: Pemegang pas bulanan LRT Rapid My50, My30 mungkin diberi pampasan

Pada pagi Rabu lalu (9 November), sebanyak 16 stesen di sepanjang LRT Laluan Kelana Jaya terpaksa ditutup setelah pihak Rapid Rail gagal mengenalpasti punca kegagalan sistem Automatic Train Control (ATC) pada perkhidmatan tren tersebut.

Difahamkan, salah satu komponen elektronik di laluan berkenaan berhenti berfungsi dan menyebabkan kehilangan signal antara tren-tren dan pemantau di pusat operasi dan kawalan LRT.

Juga baca: LRT rosak, wanita disamun gara-gara menunggu kereta bapanya di LRT Sri Rampai

Source: LRT Laluan Kelana Jaya OK tak tu? Perkhidmatan hari pertama stabil, pakar teknikal memantau