Kantoi tunggang e-skuter pada kelajuan 94 km/j, lelaki ini digantung lesen, hilang kerja!

Gara-gara didapati bersalah menunggang skuter elektrik (e-skuter) pada kelajuan 94 km/j, seorang lelaki terpaksa berdepan hukuman ‘perit’ apabila semua lesen memandunya digantung pihak berkuasa.

Kejadian itu tidak berlaku di Malaysia namun dilaporkan terjadi di Australia dan mungkin perlu dijadikan iktibar atau contoh untuk pihak berkuasa tempatan.

Sumber imej: Tangkap layar laporan A Current Affair 

Memetik laporan MailOnline, kesemua lesen memandu milik lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Owen Bagi, 36 tahun digantung selama enam bulan atas kesalahan yang dilakukannya.

Kesalahan dilakukan oleh Bagi, yang turut tidak memakai helmet dilaporkan berlaku di Western Freeway, Brisbane pada 12 September lalu apabila dia memintas seorang lagi penunggang e-skuter dikenali sebagai Scott Lewis.

Juga baca: Dah tiba masa, lesen bakal diperkenalkan kepada pengguna ‘e-skuter’, pembekal perkhidmatan!

Ketika kejadian, Bagi menunggang e-skuter jenama Dragon Warrior X11. Model berkenaan diiklankan sebagai kenderaan ‘off-road’ yang memiliki keupayaan seperti motosikal dan mampu mencapai kelajuan 100 km/j.

Tanpa diketahui, aksi merbahaya Bagi itu berjaya dirakam oleh Lewis yang kemudian bertindak menghantar rakaman itu kepada pihak berkuasa pada Oktober lepas. Polis kemudian berjaya mengenal pasti identiti Bagi.

Menurut Polis, kesalahan dilakukan oleh Bagi iaitu mengendalikan kenderaan bermotor secara berbahaya yang boleh dikenakan denda maksimum AUD$ 575 (RM 1,721) seperti diperuntukkan oleh pihak berkuasa Queensland sebagai tidak cukup tegas.

Ketika dihadapkan ke mahkamah, Bagi memberitahu majistret bahawa dia menunggang dengan kelajuan 48 km/j ketika memintas Lewis namun memecut sehingga lebih 90 km/j apabila tiada sesiapa berhampirannya. Alasannya adalah dia perlu menunggang dengan laju untuk pergi ke tempat kerja.

Tetapi kerana dia kehilangan kerja atas tuduhan itu, mahkamah tidak mengenakan hukuman denda kepadanya.

Meneliti laman sosial, aktiviti menunggang e-skuter yang diubahsuai turut berlaku di Malaysia.

Juga baca: E-skuter kini diharamkan atas jalan raya, tersenarai 3 jenis kenderaan mikromobiliti oleh MoT, kuat kuasa serta merta!

Source: Kantoi tunggang e-skuter pada kelajuan 94 km/j, lelaki ini digantung lesen, hilang kerja!