Aprilia tampilkan edisi istimewa Aprilia RS 660 Extrema (2023), lebih ringan, prestasi dipertingkat!

Aprilia RS 660 membuat debut di pasaran Malaysia, tahun lalu pada harga asas RM 59.9k dan untuk sebuah jentera ‘Sportbike’ aras tengah berprestasi, tanda harga itu cukup mengujakan dan tak dapat lagi dibeli dengan angka berkenaan ketika ini.

Dan baru-baru ini, sempena EICMA 2022, syarikat pengeluar motosikal Itali itu memperkenalkan versi istimewa dikenali Aprilia RS 660 Extrema Special Edition (2023).

Sebagai permulaan, kelainan yang diberikan syarikat pengeluar motosikal Itali itu kepada Aprilia RS 660 Extrema (2023) bukan sekadar kemasan ‘kosmetik’, namun turut membabitkan beberapa komponen untuk membuatkan berat keseluruhannya menjadi lebih ringan.

Juga baca: Harga asas RM 59,900, inilah Aprilia RS660 2021 di Malaysia!

Justeru, prestasi jentera berkenaan juga dipertingkatkan, sama seperti namanya yang jika diterjemah, ‘Ekstrem’.

Tiada perubahan dari sudut rekaan, begitupun skema warna dan corak grafik jika diteliti mengambil inspirasi bendera negara Uncle Sam menerusi kombinasi warna Merah dan Putih. Ini adalah berikutan kejayaan yang dicapai Aprilia RS 660 dalam kelas Super Twins dalam siri perlumbaan MotoAmerica.

Begitupun berdasarkan sejarah, nama Extrema sebenarnya bukan baharu untuk Aprilia dan jenama itu pernah menghasilkan RS125R Extrema pada era 90-an.

Jika varian Standard memiliki berat 169 kg, Aprilia RS 660 Extrema (2023) hanya memiliki berat 166 kg (kering).

Juga baca: Aprilia RSV4, RSV4 Factory 2021. 125 Nm, 217 Hp, teknologi MotoGP ke jalanan!

Pengurangan berat ini dicapai menerusi pelbagai komponen baharu dan berprestasi antaranya penggunaan sistem ekzos SC Project dengan peredam bunyi gentian karbon. 

Komponen lain yang turut digantikan dengan gentian karbon termasuklah braket ekzos, madgad depan dan kowl enjin. Selain lebih ringan, ia turut menghasilkan lebih kuasa. Sebagai motosikal lumba berprestasi dan untuk trek, ia tidak mempunyai pelana untuk pembonceng.

Ciri menarik lain yang datang secara opsyen pula adalah seperti mengubah ciri elektronik Quick Shifter kepada paten syif lumba. 

Ini bermaksud paten dan arah anjakan gear boleh diubah tanpa mengubah sebarang komponen sebaliknya hanya ditala menggunakan unit kawalan elektronik (ECU). Ciri ini sememangnya amat berguna terutama kepada kaki sesah litar.

Seperti banyak model yang diperkenalkan di EICMA 2022, Aprilia RS 660 Extrema (2023) akan mula tiba di pasaran pada tahun depan dan tidak diketahui sama ada ia akan ‘sampai’ ke Malaysia atau tidak.

Juga baca: Giliran Aprilia Tuono 660 2021 ‘tembus’ pasaran Malaysia, harga asas RM 77.9k!

Source: Aprilia tampilkan edisi istimewa Aprilia RS 660 Extrema (2023), lebih ringan, prestasi dipertingkat!