Spekulasi: Perodua Axia baharu D74A debut Feb 2023 – 6 beg udara, D-CVT dan DNGA!

Perodua Axia generasi sekarang kini sudah berusia 8 tahun dan menghampiri penghujung kitaran hayat modelnya. Generasi baharu mungkin akan tiba lebih awal daripada jangkaan dengan spesifikasi yang berkemungkinan lebih baik daripada model asas yang dijual di Indonesia.

Menurut rakan media Funtasticko, Perodua Axia generasi baharu dikenali dengan kod nama D74A, telah memasuki fasa pengeluaran percubaan kedua. Funtasticko juga menambah bahawa terdapat satu lagi pengeluaran percubaan untuk dijalankan sebelum pengeluaran besar-besaran bermula.

Baca: Enjin 1.0 Turbo baharu untuk hatchback mini Toyota-Daihatsu, Perodua Axia Turbo D74A menyusul?

Axia pra-facelift generasi semasa​​​​​

Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, Perodua Axia D74A ini boleh melakukan penampilan pertama seawal Februari 2023. Sebelum ini, jangkaan awal mendapati ia mungkin akan dilancarkan pada suku kedua 2023.

Ativa ialah model Perodua pertama yang menampilkan platform DNGA

Kod nama D74A juga membawa satu lembaran baharu kepada Perodua. Seperti model Perodua lain yang dilancarkan baru-baru ini, khusunya Ativa dan Alza, Perodua Axia generasi baharu akan dibangunkan di atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Satu spesifikasi yang dijangka kekal – enjin petrol 3-silinder 1.0 liter aspirasi semula jadi 1KR-VE yang sama masih memacu hatchback kecil ini namun tugas penghantaran kuasa diambil alih oleh transmisi automatik CVT (D-CVT) yang lebih terkini.

Dari segi ciri kelengkapan, Perodua Axia generasi seterusnya dijangka akan menerima lampu utama LED, lampu ekor jenis mentol dengan penggayaan smoke, gugusan instrumen digital sepenuhnya dan sistem infotainmen gaya terapung. Dua ciri terakhir dikatakan hanya eksklusif untuk varian atasan Axia AV generasi seterusnya.

Menariknya, sumber yang sama turut mendakwa Perodua Axia spesifikasi atas akan mendapat 6 beg udara, di samping suite ADAS Perodua ASA 3.0, merangkumi ciri seperti Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Ciri yang lebih premium seperti Adaptive Cruise Control (ACC) mungkin tidak ditawarkan pada Axia generasi baharu ini.

Baca: Kembar Indo Perodua Axia D74A 2023 generasi baru mungkin menggunakan enjin Rocky, tetapi bukan turbo?

Source: Spekulasi: Perodua Axia baharu D74A debut Feb 2023 – 6 beg udara, D-CVT dan DNGA!