Hijau adalah warna yang sinonim dengan parti penebang pokok dan tumbuh-tumbuhan lantas apa-apa yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar akan mengenakan warna hijau. Walau bagaimanapun, kebanyakan model hibrid dan EV tidak menggunakan sebarang lencana berwarna hijau, sebaliknya, warna biasa yang digunakan pada lencana “mesra alam” pengeluar kenderaan ialah warna biru. Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa?
Jenama BMW dan Mercedes-Benz misalnya, menggunakan warna biru untuk jenama i-series dan EQ masing-masing. Volkswagen juga telah bertahun-tahun menggunakan slogan Think Blue, dengan lencana BlueMotion pada keretanya.
Walau bagaimanapun selepas isu “Dieselgate”, Volkswagen terpaksa bermula dari kosong, jadi ia menggunakan skema warna biru-fuschia yang berbeza untuk jenama ID EV sahaja.
Bagaimana pula dengan jenama bukan Jerman? Pengeluar hibrid terkemuka di Jepun, Toyota juga menggunakan warna biru. Sehingga tahun 2022, semua model hibrid Toyota yang dilancarkan sejak 2009 memakai lambang Toyota berwarna biru, dengan lencana Hybrid Synergy Drive berwarna biru di bahagian belakang dan lencana Hibrid corak gelombang pada bahagian fender.
Amalan ini hanya dihentikan baru-baru ini, selepas pelancaran Toyota Prius 2023 kerana bagi Toyota, hibrid kini adalah model arus perdana (menyumbang 70 peratus jualan di Eropah Barat) justeru identiti jenamanya tidak perlu dibezakan secara berasingan untuk model hibrid.
Baca: Toyota Prius generasi 2023 debut – menambah 2.0L hibrid plug-in, 0 – 100 km/j sepantas 6.7 saat!
Begitu juga dengan Honda. Huruf ‘e’ dalam logo e:HEVnya dibezakan dengan warna biru. Sama seperti Toyota, varian hibrid model Honda City, Honda City Hatchback, Honda HR-V dan Honda Civic memakai lambang dengan aksen biru tetapi model elektrik sepenuhnya seperti Honda E memakai lambang Honda biasa.
Usaha Honda selama 4 dekad untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang bersih, hibrid, serta EV bateri pelepasan karbon sifar dan kenderaan elektrik sel bahan api dengan slogan objektif Honda iaitu ‘Blue Skies for our children’. Sekali lagi, kenapa “langit biru” yang menjadi tema dan bukannya tanah hijau?
Tidak dilupakan juga, jenama Chevrolet kebanggan Amerika menggunakan biru untuk kenderaan elektrik Chevrolet Bolt. Begitu juga untuk Ford yang menggunakan lencana petir biru pada model EVnya.
Keputusan yang dilakukan oleh hampir kesemua pengeluar kenderaan untuk mengelak warna hijau dan memihak kepada warna biru berkemungkinan cukup jelas bagi sesiapa yang tinggal di Barat, terutamanya Eropah. Namun, ia mungkin tidak begitu difahami bagi pembaca di Malaysia.
Di sini, hijau sinonim dengan warna mesra alam, malah parti politik yang menggunakannya berani tampil dengan slogan “Anak Kelantan Sayang Hutan”. Di Barat, hijau juga sinonim dengan warna politik tetapi bukan seperti yang kita fahami.
Ia mungkin kedengaran ekstremis tetapi warna hijau dikaitkan dengan Green Party yang radikal, berhaluan kiri dengan perjuangan ekologi, selalunya menggunakan cara yang sangat berkonfrontasi dan mengganggu ekonomi untuk mendapatkan perhatian. Ia bukan kumpulan yang ingin dikaitkan dengan entiti komersial progresif, terutamanya syarikat kereta.
Inilah sebab mengapa BMW, Mercedes-Benz dan VW tidak menggunakan logo hijau pada mana-mana produk mesra alam mereka.
Di Jerman, Green Party dilihat oleh rakyat biasa dengan kaca mata yang sama kebanyakan rakyat Malaysia memandang parti hijau di sini. Nuremberg mungkin merupakan tempat kelahiran reformasi Kristian tetapi di Jerman, jurang yang membahagikan rakyatnya bukanlah agama tetapi dasar alam sekitar dan pendatang asing.
Sayap pemuda radikal Green Party mempunyai sejarah panjang dengan protes gangguan di pameran motor, sanggup menghalang pemandu kereta dengan menyekat lebuh raya, melakukan sekatan di jalan kritikal menghubungkan pelabuhan dan zon perindustrian dengan melekatkan diri atas jalan, menyekat operasi lapangan terbang dan sebagainya.
Orang Jerman memanggil Green Party sebagai “Verbotspartei” atau ‘Parti Anti-Parti’ kerana ahlinya anti-industri, anti-kereta, anti stesen janakuasa nuklear, anti-daging (penternakan lembu mengeluarkan gas rumah hijau yang agak banyak), anti-perikanan komersial, anti segala-galanya yang membentuk kehidupan moden. Kedengaran seperti ahli siapa agaknya?
Green Party paling banyak ditubuhkan di Jerman tetapi mereka juga mempunyai kehadiran di banyak negara di luar Kesatuan Eropah, termasuk UK, Amerika Syarikat dan Kanada.
Jadi mengapa syarikat pengeluar kenderaan memilih warna biru? Hal ini kerana biru dilihat sebagai warna yang sama inklusif. Biru juga merupakan warna Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Langit biru dan laut biru juga sinonim dengan alam sekitar, sama seperti warna hijau.
Baca: Toyota, Daihatsu dan jenama Jepun lain dikritik kerana lambat dalam pembangunan kereta elektrik
Namun, mengapa pengeluar kereta Jepun seperti Honda dan Toyota perlu risau tentang perkara ini sedangkan Green Party tidak wujud di Jepun? Jawapan mudahnya ialah syarikat-syarikat ini membangunkan produk mereka dengan mengambil kira pasaran antarabangsa, dan Eropah sebagai salah satu pasaran yang paling mementingkan alam sekitar menjadi sasaran utama destinasi eksport.
Walau bagaimanapun, keputusan pengeluar kereta untuk menggunakan warna biru dan bukannya hijau telah dibuat lebih sedekad yang lalu, dan Green Party hari ini berbeza daripada Green Party pada tahun 80-an dan 90-an, jadi anjakan paradigma mungkin menyusul.
Selama beberapa dekad, Green Party dilihat sebagai parti picisan yang lantang tetapi tak penting, di mana ahlinya terdiri daripada individu fakir, kebanyakannya menerima bantuan kerajaan kerana menganggur namun identiti ini tidak benar pada hari ini.
Kini, Green Party adalah sebahagian daripada kerajaan gabungan 3 parti Jerman dengan Parti Sosial Demokrat (SPD) merah dan Parti Demokrat Bebas (FDP) kuning. Rakyat Jerman kini menggelar “Green is now grey” manakala yang lain memanggilnya kerajaan gabungan ‘lampu isyarat’.
Seperti Malaysia, Jerman juga telah dihanyutkan oleh gelombang hijau, tetapi tidak seperti keadaan di Malaysia, gelombang hijau Jerman bukanlah hasil daripada gelombang konservatisme radikal terkebelakang.
Sebaliknya, Green Party telah matang, kurang berkelakuan seperti idealis chauvinist, dan lebih kepada parti yang bertanggungjawab. Mereka mahu menjadikan objektif mesra alam lebih sesuai untuk rakyat Jerman biasa, tidak lagi memprotes sana-sini seperti dahulu.
Dalam usaha untuk meluaskan daya tarikannya, kepimpinan baharu Green Party telah beransur-ansur mengalihkan diri mereka daripada sayap kiri dan bergerak ke kedudukan spektrum politik pertengahan yang lebih sederhana.
Parti ini juga telah menjauhkan diri daripada penunjuk perasaan “Just Stop Oil” baru-baru ini, dan tunjuk perasaan lain yang dilakukan oleh aktivis, menegur penunjuk perasaan kerana tindakan mereka yang tidak disasarkan dengan baik.
Salah satu keputusan paling sukar dan kontroversi yang perlu dibuat oleh Green Party selepas menjadi kerajaan adalah untuk menangguhkan matlamat awal Jerman untuk menghapuskan tenaga nuklear secara berperingkat menjelang 2022.
Bebas nuklear adalah salah satu matlamat asas Green Party dan penangguhan ini telah menyebabkan parti tersebut kehilangan banyak penyokong asal tetapi pada masa yang sama menerima penyokong baharu yang lebih moderat.
Menjadi pembangkang adalah mudah tetapi selepas menjadi kerajaan, Green Party menyedari bahawa stesen janakuasa nuklear tidak boleh ditutup tanpa menjejaskan ekonomi. Hal ini kerana tenaga mesra alam walaupun pada teorinya bagus, masih tidak dapat menampung permintaan tenaga secara realiti.
Berbalik kepada industri automotif, Green Party juga terpaksa berkompromi dalam objektif ‘membunuh’ enjin pembakaran untuk selamanya. Mereka menyokong pengharaman Kesatuan Eropah terhadap enjin pembakaran dalaman menjelang 2035, namun masih terbuka untuk memastikan enjin pembakaran dalaman dikekalkan jika ia menggunakan bahan api sintetik – pada asasnya petrol buatan yang diperbuat daripada kaedah intensif kurang karbon.
Jadi siapa tahu, mungkin dalam dekad yang akan datang, kereta mesra alam boleh dengan bangganya memakai warna hijau tanpa rasa takut dikaitkan dengan parti radikal berhaluan kiri?
Baca: UK bakal haramkan penjualan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2030?
Source: Pengeluar kenderaan ‘terpaksa’ guna warna biru untuk kenderaan mesra alam, bukan hijau. Mengapa?
More Stories
Billionaire Studios Clothing: The Intersection of Luxury and Streetwear
The Essentials Hoodie: The Perfect Blend of Comfort and Design
Expert Guidance: Benefits of Consulting a Psychiatrist For Anxiety Disorders