Pembangunan Toyota Hilux berkuasa hidrogen FCEV sudah mula; prototaip akan siap pada 2023

Kalau disebutkan tentang sumber kuasa hidrogen, anda pasti akan ingat Toyota dahulu dan kini di United Kingdom, mereka dilaporkan sudah mula membangunkan Toyota Hilux yang menggunakan sel bahan api (fuel-cell electric vehicle, FCEV).

Projek ini diketuai oleh Toyota Motor Manufacturing UK (TMUK) dan diusahakan bersama oleh rakan jurutera seperti Ricardo, ETL, D2H dan Thatcham Research.

Pengumuman ini dibuat selepas Toyota berjaya mendapat dana projek bernilai 11.3 juta GBP (~RM 61 juta) dari UK Government.

Dalam masa yang sama, R&D Toyota Motor Europe (TME) akan memberi sokongan teknikal dan bantu konsortium untuk membina kepakaran dalam membangunkan teknologi trenkuasa hidrogen.

Menurut wakil syarikat Toyota, sebuah prototaip akan siap pada tahun 2023. Hilux tersebut akan menggunakan komponen trenkuasa dari Toyota Mirai yang hadir dengan sistem sel bahan api Toyota generasi kedua.

Untuk makluman anda, Hilux FCEV ini akan menandakan satu perubahan besar dalam segmen trak pikap. Dalam pasaran seperti Malaysia, Australia atau Thailand, Hilux adalah trak pikap paling laris dan dengan adanya varian berpelepasan sifar, ia akan membantu industri dalam mengurangkan lagi kadar karbon dalam rantau ini.

Juga bacaFord Ranger ‘fuel-cell’ (FCEV) berkuasa hidrogen, ada tempahan dari Malaysia!

Menariknya, tabiat penggunaan kereta FCEV juga tidak akan banyak beza. Malah, menukar stesen minyak kepada stesen hidrogen hanya mengambil masa 2 hari. Sebagai konteks, satu isian hidrogen penuh untuk Mirai juga hanya mengambil masa 5 minit.

Jadi, untuk mereka yang bekerja jauh di pedalaman (infrastruktur EV macam susah nak ada), pendekatan hidrogen nampak lebih masuk akal.

Kalau anda nak tahu, Toyota mula mengetengahkan teknologi hidrogen sejak tahun 1992 lagi dan disebabkan itulah terhasilnya kereta FCEV Toyota iaitu Mirai. Setakat ini, Mirai banyak digunakan sebagai teksi di negara Eropah. Selain itu, teknologi trenkuasa hidrogen Toyota juga digunakan pada kenderaan besar seperti bas Sora dan kereta lumba Corolla dalam siri perlumbaan.

Juga bacaPakar dalam teknologi hidrogen fuel cell, Toyota tawar teknologi kepada bas Mercedes-Benz

Source: Pembangunan Toyota Hilux berkuasa hidrogen FCEV sudah mula; prototaip akan siap pada 2023