Yamaha merampas kembali gelaran juara keseluruhan kelas elit, CP150 Kejuaraan Petronas Cub Prix daripada kem Honda menerusi jaguhnya Ahmad Afif Amran dengan takhta musim 2022 itu disahkan lebih awal di pusingan sembilan di Litar Antarabangsa Sepang Selatan, minggu lalu.
Sekalipun tidak memenangi perlumbaan di Sepang, jumlah pungutan mata yang dikumpul Afif dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing iaitu 157 mata cukup untuknya bergelar juara lebih awal tanpa menunggu pusingan terakhir, bulan depan.
Ini kerana pencabar terdekatnya, Azroy Hakeem Anuar yang juga pemenang perlumbaan di Sepang ketika ini hanya mengumpul keseluruhan 128 mata sekaligus tidak lagi mampu memintas kedudukan Afif.
Sebagai info, Azroy dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu adalah penyandang juara Cub Prix pada musim lalu. Pada musim 2020, juara keseluruhan menjadi milik seorang lagi pelumba Honda, Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing.
Afif sebelum itu cemerlang bergelar juara berganda selepas menjuarai gelaran keseluruhan kelas elit itu pada musim 2018 dan 2019.
“Syukur ini adalah rezeki saya untuk bergelar juara sekali lagi. Terima kasih kepada pasukan, Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang bekerja keras serta krew yang sentiasa mencari jalan untuk memaksimakan prestasi jentera saya. Apa yang kami sasarkan sudah pun tercapai,” katanya.
Mengikut statistik, Afif yang menamatkan perlumbaan di Sepang di tangga keenam sudah menaiki podium sebanyak enam kali termasuk tiga kemenangan di pusingan pertama, kedua dan kelapan.
Selain kelas CP150, gelaran keseluruhan kelas CP125 juga sudah mempunyai pemilik tanpa menunggu pusingan akhir iaitu Md Shafiq Rasol daripada pasukan OneXOX TKKR Racing Team.
Gelaran itu turut disahkan oleh Md Shafiq di Sepang sekalipun dia hanya meraih tempat kedua apabila pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Md Hafiza Rofa gagal menamatkan perlumbaan.
Turut cemerlang menoktahkan kejuaraan lebih awal adalah Md Adam Haikal Jahar dalam kelas Wira KBS. Selepas sembilan pusingan, Md Adam daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing itu mengumpul keseluruhan 177 mata.
Pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Md Syamil Amsyar Md Iffende ketika ini hanya mengumpul 149 mata dengan seorang lagi pelumba pasukan sama, Md Danish Aiman Zamrul ketiga keseluruhan dengan 145 mata.
Perlumbaan pusingan ke-10 dan terakhir Cub Prix 2022 dijadual berakhir di litar Stadium Batu Kawan pada 3 dan 4 Disember ini.
Juga baca: Kejuaraan keseluruhan Cub Prix musim 2020 milik Helmi Azman, Syafiq Rosli dan Nabil Razu!
Juga baca: Azroy Hakeem pastikan kejuaraan CP150 2021 kekal milik Honda!
More Stories
Hellstar Streetwear: Gear Up to Stand Out
Turkey Visa Free Countries and Process
Allison Transmission for Off-Roading: Performance Insights and Upgrades