Tiada ‘drama’ dimainkan di pusingan akhir perlumbaan MotoGP 2022 di Valencia, Sepanyol, semalam yang menyaksikan Ducati melengkapkan kempen gemilang selepas pelumbanya, Francesco Bagnaia mengesahkan kejuaraan dunia musim ini.
Kejayaan Bagnaia di Ricardo Tormo menyaksikan Ducati menyapu bersih semua gelaran dunia yang ditawarkan pada musim ini termasuk kategori Pengeluar dan Pasukan – gelaran yang disahkan di Grand Prix (GP) Malaysia 2022.
Lebih membanggakan buat Ducati, ia adalah kejuaraan kedua jenama motosikal ikonik Itali itu di pentas MotoGP sejak Casey Stoner melakukannya pada 2007. Malah, Bagnaia turut menjadi pelumba kelahiran Itali kedua muncul juara dunia MotoGP sejak legenda yang juga mentor kepadanya, Valentino Rossi melakukannya pada musim 2009.
Mengulas persembahannya di Valencia, Bagnaia mengakui ia bukan perlumbaan terbaiknya malah mungkin terburuknya pada musim ini selepas turut dilanda masalah jentera tetapi dia lega pengakhirannya cukup manis.
Apa tidaknya, sekalipun menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-9, ia sudah cukup buatnya mengesahkan kejuaraan dengan pencabarnya, Fabio Quartararo menamatkan saingan di kedudukan keempat.
“Saya amat gembira, pada hari yang mungkin perlumbaan terburuk saya sepanjang tahun, dalam kalendar MotoGP. Tetapi saya dapat merasai sesuatu yang istimewa,” kata Bagnaia yang pernah merangkul kejuaraan dunia kelas Moto3 pada 2018.
“Apabila saya melepasi garisan penamat saya melihat kepada papan tanda yang menyatakan saya adalah juara dunia dan sejak dari itu, segala-galanya nampak cerah, lebih manis dan menakjubkan.”
Selain tekanan untuk menghadiahkan kejayaan kepada Ducati, pelumba berusia 25 tahun itu turut mengakui tekanannya ketika perlumbaan meningkat kerana merasakan seluruh warga Itali mengharapkan kejayaan mampu dicapai.
“Saya merasakan beban di bahu saya untuk memberikan gelaran kepada pasukan, kepada pengeluar, kepada Ducati, kepada Itali,” kata Bagnaia. “Ia bukan tempoh yang mudah tetapi apabila saya bercakap dengan Vale (Rossi), dia berkata kepada saya ‘Kamu perlu bangga untuk mendapat peluang ini. Bukan semua orang dapat peluang ini.’
“Benar yang kamu boleh merasakan tekanan dan merasa takut, tetapi kamu perlu berbangga untuk memperoleh peluang ini jadi cuba dan nikmatinya. Dan saya cuba melakukannya.
“Hari ini (semalam) ia tidak begitu menjadi tetapi saya secara jujur amat gembira. Dia (Vale) adalah mentor kami. Pemimpin kami.”
Dalam perlumbaan semalam, perlumbaan dimenangi pelumba Suzuki, Alex Rins yang sekaligus menjadi penutup terbaiki buat jenama itu yang tidak akan beraksi di MotoGP musim depan. Tempat kedua menjadi milik pelumba Red Bull KTM, Brad Binder manakala pelumba Pramac Ducati, Jorge Martin melengkapkan kedudukan podium.
Sumber imej: FB Ducati, Ducati Corse, Francesco Bagnaia, Álex Rins, Fabio Quartararo
Source: Ducati lengkap kempen gemilang, ‘Pecco’ Bagnaia sahkan gelaran dunia MotoGP 2022!
More Stories
Expert Guidance: Benefits of Consulting a Psychiatrist For Anxiety Disorders
M Casino for Beginners: Tips to Get Started
Ensuring Enhanced Safety: The Role of Crane Load Cells in Heavy Lifting