Kempen Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix 2022 menutup tirainya yang menyaksikan juara keseluruhan tahun lalu dari Honda, Azroy Hakeem Anuar dinobatkan sebagai pemenang perlumbaan terakhir kelas elit CP150 di litar Stadium Batu Kawan, semalam.
Begitupun, kemenangan Azroy dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team disahkan selepas pemenang perlumbaan, Akid Aziz dari pasukan OneXOX TKKR Racing Team dibatalkan susulan isu teknikal selepas perlumbaan.
Untuk Azroy, ia adalah kemenangan kedua berturut-turut untuknya musim ini selepas turut memenangi perlumbaan pusingan ke-10 di Sepang, bulan lalu, lokasi yang menobatkan Ahmad Afif Amran Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing sebagai juara keseluruhan CP150.
Agak malang buat Afif, dia tidak menamatkan perlumbaan di Batu Kawan dengan keputusan turut menyaksikan kem Honda menguasi podium selepas Md Helmi Azman Honda (SCK Honda Racing) turut menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Tempat kedua di Batu Kawan menjadi milik jaguh Yamaha, Kasma Daniel Kasmayudin (Petronas Yamaha Maju Motor). Kemenangan Azroy dalam pada itu turut mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara keseluruhan kelas CP150.
Dalam kelas CP125, Md Syafiq Rosli Yamaha dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor merangkul kemenangan di P.Pinang diikuti ‘duo’ pasukan OneXOX TKKR Racing Team termasuk juara keseluruhan, Md Shafiq Rasol dan Md Hafiza Rofa.
Dua kedudukan podium yang diraih Shafiq dan Hafiza turut menyaksikan pasukan OneXOX TKKR Racing Team merangkul gelaran keseluruhan kategori pasukan kelas CP125.
Sementara itu dalam kelas Wira KBS, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing merangkul kemenangan di Batu Kawan diikuti pelumba Honda KC Racing, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas.
Juara keseluruhan kelas Wira KBS bagi musim ini, Md Adam Haikal Jahar juga dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing melengkapkan kedudukan podium.
Juara keseluruhan Cub Prix 2022 (Pelumba)
- CP150 – Ahmad Afif Amran (Terengganu) Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, 157 mata
- CP125 – Md Shafiq Rasol (Melaka) OneXOX TKKR Racing Team, 179 mata
- Wira KBS – Md Adam Haikal Jahar (Johor) Petronas Sprinta Yamaha – 31 Racing, 193 mata
Juara keseluruhan Cub Prix 2022 (Pasukan)
- CP150 – Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, 301 mata
- CP125 – OneXOX TKKR Racing Team, 312 mata
More Stories
Hellstar Streetwear: Gear Up to Stand Out
Turkey Visa Free Countries and Process
Allison Transmission for Off-Roading: Performance Insights and Upgrades