1,223 kenderaan disaman atas penggunaan lampu “strobe”, hak menyurai trafik hanya untuk penguatkuasa!

JPJ telah mengambil usaha yang jitu dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya termasuklah dalam isu penggunaan lampu “strobe” dan lampu “beacon”.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik oleh saluran media sosial rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan, sebanyak 1,223 unit kenderaan (pelbagai kategori) telah diambil tindakan oleh JPJ dengan jumlah notis sebanyak 2,319 kerana menggunakan lampu mata arah (Beacon Light) dan lampu strob (Strobe Light) tanpa kebenaran Jabatan.

“Lampu amaran khas ini dipasang bagi bertujuan menarik perhatian pengguna jalan raya untuk memberitahu akan kehadirannya, sekaligus mendapatkan hak untuk menyurai kenderaan di atas jalan raya (disperse the traffic).

“Hanya kenderaan Jabatan/Agensi yang diwartakan di bawah Akta 333 sahaja, yang mana terlibat secara langsung dengan tugas-tugas kecemasan dan penguatkuasaan, iaitu seperti kenderaan ambulans, kereta Jabatan Bomba, kenderaan Jabatan Kastam, kenderaan Jabatan Polis, kenderaan Jabatan Penjara dan kenderaan JPJ sahaja, yang dibenarkan untuk mendapat hak laluan kenderaan lain di jalan raya.” ujar satu kenyataan media JPJ.

Kelakuan pemilik kenderaan dengan modifikasi lampu strob ini dilihat mengambil kesempatan dan berlagak seperti pegawai penguatkuasa.

Pemandu boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 138, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebehi enam bulan.

Baca: Pemilik kenderaan dengan lampu strob diburu, denda RM 2,000 dan penjara menanti!

Source: 1,223 kenderaan disaman atas penggunaan lampu “strobe”, hak menyurai trafik hanya untuk penguatkuasa!