11% jualan kenderaan di Malaysia Okt 2022 adalah Perodua Bezza, pengeluar kini penuhi tempahan tertunggak – MAA

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan jumlah jualan kenderaan pada bulan Oktober 2022 iaitu sebanyak 61,002 unit. Angka ini sebenarnya 10% lebih rendah berbanding jualan pada bulan sebelum. Sebagai konteks, September menyaksikan 67,698 kenderaan dijual di Malaysia.

Perodua Bezza menjadi kenderaan terlaris di Malaysia dengan 6,768 unit untuk Oktober 2022. Hal ini bermakna jualan Perodua Bezza sahaja sudah meliputi 11% daripada jumlah keseluruhan jualan.

Punca penurunan jualan adalah disebabkan pemenuhan tempahan tunggakan yang diterima oleh pembuat kereta sebelum 30-Jun 2022 menurut MAA. Perodua Bezza sendiri dilaporkan mempunyai tempoh menunggu sehingga 13.5 bulan.

Walaupun jualan kenderaan mengalami kemerosotan, volum jualan tahun sehingga kini (YED) untuk Oktober 2022 adalah 50% lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada 2021. Berdasarkan data, sejumlah 577,902 kenderaan telah dijual sehingga Oktober 2022 manakala 382,589 unit telah dijual dalam sepuluh bulan pertama 2021.

Baca: Tempoh menunggu Perodua Bezza cecah 13.5 bulan, model Perodua lain berapa lama pula?

Jumlah pengeluaran kenderaan sehingga Oktober 2022 juga meningkat daripada 369,406 kenderaan pada 2021 kepada 567,752 kenderaan tahun ini.

MAA menjangkakan jualan pada November 2022 akan kekal pada tahap yang sama seperti bulan sebelumnya manakala kekurangan cip dan komponen yang berterusan akan terus menjejaskan pembuatan tertentu tetapi pada skala yang lebih kecil.

Baca: Jangka jualan kenderaan stabil hingga akhir tahun 2022, sekitar 62k unit bermula Sept – MAA

Source: 11% jualan kenderaan di Malaysia Okt 2022 adalah Perodua Bezza, pengeluar kini penuhi tempahan tertunggak – MAA