Benelli pamer model ADV suku liter terbaharu, Benelli BKX250 (2023), rekaan futuristik, radikal!

Benelli menayangkan model ‘Adventure’ suku liter terbaharunya Benelli BKX250 (2023) di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2022 dan jika berpandukan kepada rekaan motosikal berkenaan, tidak salah untuk menyifatkannya sebagai radikal.

Dengan rekaannya yang sebegitu unik, Benelli BKX250 (2023) pantas menjadi perhatian di pameran berkenaan.

Begitupun, ia bukanlah sesuatu yang tidak dapat dijangka kerana rekaan model ini tidak dibuat di China (Benelli kini anak syarikat Qianjiang Motorcycle) namun mendapat kepakaran Itali di Benelli Style Centre di Pesaro.

Juga baca: Benelli 752S 2021 tiba di Malaysia, harga ditawarkan RM 37.9k

Sekalipun nampak radikal, ia sebenarnya tidaklah ‘menyakitkan’ mata dan paling unik pastinya rekaan lampu siang (DRL) yang nampak cukup menonjol mengapit lampu utama projektor berkembar. 

Bahagian panel sisi juga nampak seimbang bersama tangki bahan api berkapasiti 13.5 liter. Tiada lampu utama di bahagian belakang sebaliknya ia disepadukan dengan unik lampu signal yang turut berfungsi sebagai lampu brek.

Sumber imej: FB Ministry Of Superbike

Secara keseluruhan, ia sememangnya tampak cukup berbeza namun tidak ‘lari’ dengan konsep sebagai sebuah jentera lasak ADV.

Mengulas bahagian trenkuasa, Benelli BKX 250 (2023) ini dikuasakan enjin bersesaran 250 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang turut digunakan di beberapa lagi model jenama itu.

Begitupun, Benelli menaiktaraf beberapa bahagian antara sistem penyejukan dengan menggunakan radiator berkembar diposisikan secara menegak, kotak udara dan bahagian ekzos.

Sistem transmisi yang digunakan model ini adalah 6 kelajuan klac manual dengan kuasa yang dihasilkan adalah 25.4 Hp pada 9,250 rpm dan tork 21 Nm pada 8,000 rpm.

Sumber imej: FB Ministry Of Superbike

Sebagai jentera yang berkeupayaan meredah laluan ‘off-road’, Benelli BKX250 turut dipadankan dengan rim jenis jejari bersaiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) bersama set tayar bersaiz 100/90 dan 140/80. 

Sumber imej: FB Ministry Of Superbike

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik 41 mm dengan jarak ‘travel’ 180 mm dengan suspensi belakang menggunakan penyerap hentak tunggal bersama ‘swingarm’ Pro-Link.

Benelli berkata BKX 250 ini akan mula tiba di bilik pameran pengedarnya di pasaran antarabangsa pada pertengahan tahun 2023 dan tidak mustahil, Malaysia menjadi salah satu destinasinya.

Juga baca: Benelli TRK 702 (2022) debut di China, 2 varian, harga RM 30k, masuk pasaran Malaysia?

Source: Benelli pamer model ADV suku liter terbaharu, Benelli BKX250 (2023), rekaan futuristik, radikal!