Syarikat pengeluar motosikal Itali, Italjet menggunakan Pameran Motosikal Milan 2022 sebagai platform untuk menayangkan model skuter konsep dengan rekaan drastik terbaharunya, Italjet Dragster 500GP.
Seperti diketahui, Italjet adalah syarikat yang menghasilkan skuter bertaraf premium dan itulah lebel yang diletakkan untuk Italjet Dragster 500GP yang diberikan gelaran ‘hyper scooter’.
Tetapi sedikit aneh, sekalipun rekaannya mengikuti ‘lenggok’ skuter, Italjet Dragster 500GP boleh dikatakan sebagai model kacukan skuter/motosikal konvensional kerana ia tidak dipadankan dengan sistem transmisi automatik.
Sistem transmisi yang digunakan adalah kotak gear 6 kelajuan dengan klac manual. Dan sistem pacuan juga bukan menggunakan jenis tali sawat namun rantai.
Dari sudut rekaan, ia tampak tidak begitu lari dengan model Italjet Drgaster 125 dan 200 yang baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia. Tetapi dimensinya sedikit panjang dengan penggunaan tayar yang lebar dengan rim aloi bersaiz 15 inci.
Untuk nampak sedikit gagah dan ala ‘big bike’, saiz tayar yang digunakan adalah 120/70 (depan) dan 160/60 (belakang).
Dan antara perbezaan ketara adalah Italjet Dragster 500GP ini tidak menggunakan Independent Steering System (ISS) yang agak radikal namun menggunakan fork jenis terbalik (USD) 47 mm.
Suspensi belakang pula menggunakan penyerap hentak berkembar namun diposisikan miring dan lengkap dengan ciri boleh laras. Sistem ekzos yang digunakan juga jenis berkembar dengan rekaan ‘underbelly’.
Mengulas bahagian trenkuasa, model ini dipadankan dengan enjin 450 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC dengan enjin itu diposisikan di bawah pelana.
Kuasa yang dihasilkan skuter yang menggunakan kerangka trellis ini adalah pada angka 43 Hp pada 8,000 rpm dan tork 43 Nm pada 6,000 rpm.
Untuk meningkatkan ciri ‘big bike’ lagi, sistem brek yang digunakan adalah cakera berkembar bersaiz 270 mm (depan) dam cakera tunggal 230 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Sebagai model premium, kaliper brek yang digunakan adalah dari jenama Brembo Stylema.
Informasi penting lain adalah seperti berat 180 kg, kapasiti tangki bahan api 12 liter dan ketinggian pelana 820 mm.
Dipamerkan sebagai model konsep, Italjet dikatakan meletakkan sasaran untuk menjual model berkenaan pada tahun 2024. Kepada yang minat, bolehlah menabung dari sekarang kerana dengan lencana Italjet, harganya juga ‘kayangan’.
Juga baca: Italjet Dragster 125, 200 kini rasmi di Malaysia, harga asas RM 29.5k, RM 34.8k!
More Stories
Billionaire Studios Clothing: The Intersection of Luxury and Streetwear
The Essentials Hoodie: The Perfect Blend of Comfort and Design
Expert Guidance: Benefits of Consulting a Psychiatrist For Anxiety Disorders