Tidak cukup sekadar menjadi sebuah hatchback hibrid standard yang selesa, Toyota Aqua generasi kedua serba baharu (nama JDM bagi Toyota Prius C yang pernah dijual di Malaysia) telah menerima perincian Gazoo Racing (GR) untuk pasaran Jepun.
Baru sahaja dilancarkan di Jepun, Toyota Aqua GR Sport (GR-S) generasi kedua mengimbangi keselesaan kereta hibrid berasaskan TNGA dengan elemen prestasi terkenal Toyota Gazoo Racing (TGR).
Dengan itu, Toyota Aqua GR-S menjadi model GR-S keenam yang kini dijual di Jepun selepas Toyota Yaris Cross, Toyota Hilux, Toyota C-HR, Copen dan Toyota Land Cruiser. Di Malaysia, perincian GR-S boleh didapati pada Toyota Vios GR-S.
Baca: Kebaikan & Kekurangan: Toyota Vios GR-S 2021, prestasi GR-Sebenar atau prestasi Tipu-R?
Seperti model GR-S lain yang ditawarkan, Toyota Aqua GR-S menampilkan beberapa peningkatan visual berorientasikan prestasi. Misalnya bahagian bampar hadapan kini lebih diperkemas, gril jaringan heksagon yang lebih sporty di hadapan dan bampar belakang serta rim aluminium 17-inci yang dibalut dengan tayar Potenza RE050A berprofil 205/45R17.
Walau bagaimanapun, perincian TGR bukan hanya sekadar meningkatkan keupayaan sporty Toyota Aqua dalam penampilan sahaja. Hot hatch hibrid ini turut menerima suspensi talaan khas untuk bahagian hadapan dan belakang dengan spring gegelung yang ditala semula dan penyerap hentak yang menjanjikan tindak balas yang lebih baik di samping mengimbangi keselesaan yang cukup baik.
Satu lagi peningkatan yang dibuat pada Toyota Aqua GR-S ialah stereng kuasa elektrik yang ditala khas, didakwa Toyota memberikan rasa stereng yang lebih baik serta penambahan mod Power+ untuk saat-saat pemandu memerlukan lebih tenaga di belakang roda.
Walau bagaimanapun, ini bukan model GR khusus seperti GR Supra atau GR Yaris (jenama GR di hadapan nama model) kerana di bawah hud masih lagi mengekalkan enjin 1.5 liter hibrid Dynamic Force (171 PS/261 Nm output gabungan) yang ditawarkan pada Toyota Aqua standard. Unit ini dipadankan dengan kotak gear automatik e-CVT yang memacu roda hadapan.
Justeru, bahagian dalam kebanyakannya masih sama dengan Toyota Aqua standard kecuali penambahan lencana GR pada stereng kulit tiga jejari dan pada tempat duduk jenis bucket hadapan yang merupakan gabungan kulit nubuck dan sintetik.
Toyota Aqua GR-S dijual pada harga JPY 2,595,000 (~RM 84k) yang meletakkannya varian kedua termahal untuk hatchback ini di Jepun, di belakang varian tertinggi Toyota Aqua Z E-Four (4WD) yang berharga JPY 2,598,000 (~RM 84.5k).
Malangnya, Toyota Aqua generasi baharu berkemungkinan besar hanya akan kekal di pasaran Jepun kerana Toyota Prius C telah ditarik keluar di kebanyakan pasaran.
Lambang Toyota juga laku keras di Malaysia dengan model seperti Toyota Voxy dan Toyota Corolla Sport hatchback boleh ditemui di sini justeru adakah Toyota Aqua GR-S mungkin mempunyai peluang di bawa masuk untuk kita cuba?
Baca: Panduan: Toyota Voxy recond, cukup beli MPV ini jika Alphard/Vellfire besar sangat?
Source: 2023 Toyota Aqua (Prius C) GR-S dilancarkan – 171 PS, enjin 1.5L hibrid, boleh masuk recond?
More Stories
Hellstar Streetwear: Gear Up to Stand Out
Turkey Visa Free Countries and Process
Allison Transmission for Off-Roading: Performance Insights and Upgrades