MINI Cooper merupakan antara ikon hatchback kompak paling menawan di Malaysia. Selain Volkswagen Beetle, Sesiapa sahaja di negara kita pasti kenal akan model ini.
Kalau anda masih ingat, model ini telah menjadi ikon yang cukup dikenali semenjak ia membuat kemunculan dalam siri Mr. Bean dan filem The Italian Job.
Menariknya, MINI Cooper juga sinonim dengan kereta yang mempunyai pengendalian seperti go-kart.
Antara sentuhan menarik yang boleh dilihat adalah penerapan elemen retro, terutama pada bahagian dalam. Yang uniknya, unsur sebegini masih dikekalkan walaupun pada generasi F56 yang belum lagi mencecah usia 10 tahun.
Ada berapa varian yang ditawarkan pada MINI Cooper F56 di Malaysia?
Dalam panduan membeli kali ini, kami akan meletakkan fokus pada model pra-facelift generasi F56 jenis 3 Door. Cara paling mudah untuk anda kenalpasti model facelift atau tidak adalah grafik bendera British pada lampu belakangnya.
Sewaktu dilancarkan ke Malaysia pada awal 2014, Cooper F56 hadir dengan varian Cooper dan Cooper S dan ia datang dengan bentuk badan 3 Door, Clubman (4 pintu) dan Countryman (ala SUV). Sebenarnya, ada 4 varian iaitu versi yang ada spesifikasi lagi tinggi untuk setiap varian iaitu Chilli (Cooper) dan juga Wired (Cooper S) seperti yang anda lihat ini.
Antara perubahan terbesar pada MINI Cooper generasi F56 berbanding model sebelumnya adalah penggunaan enjin BMW bagi menggantikan unit Prince yang selalu mengalami isu kebocoran minyak.
Secara teknikal, MINI F56 varian Cooper hadir dengan enjin 1.5L turbo 3 silinder B38 dari BMW yang mana ia nadi sama yang diguna pada 3 Series F30 318i. Enjin ini menghasilkan 136 PS/220 Nm dan pecutan 0 – 100 km/j mengambil masa 7.8 saat.
Varian Cooper S juga datang dengan enjin BMW tetapi versi 2.0L turbo B48. Ia menghembuskan 192 PS/280 Nm dan 0 – 100 km/j hanya mengambil masa 6.7 saat.
Apapun, ia tetap dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan Aisin, bukannya automatik ZF. Eksklusif untuk Cooper S pula adalah jenis transmisi Sports Auto yang ada Launch Control.
Dari segi kelengkapan, MINI Cooper hanya menggunakan lampu depan jenis halogen. Malah, DRL LED pun tiada. Tetapi kalau anda pilih versi Chilli, ia lengkap dengan lampu depan dan lampu kabus jenis LED seperti yang ada pada Cooper S.
Pada bahagian dalam pula, Cooper hanya datang dengan tempat duduk fabrik dan penyaman udara manual tetapi roda stereng Sports tetap ada. Kit Chilli pula menambah tempat duduk sport berbahan kulit, penyaman udara dwi-zon dan infotainment 6.5 inci.
Untuk Cooper S pula, ia tampil eksklusif dengan siling berbahan Anthracite dan roda stereng John Cooper Works (JCW). Versi Wired pula menambah perehat tangan tengah dan audio Harman Kardon 12 pembesar suara. Menariknya, infotainment yang diguna adalah saiz 8.8 inci yang ada tombol kawalan sesentuh, sama seperti BMW.
Harga dalam pasaran terpakai
Untuk makluman anda, harga model pra-facelift sewaktu mula-mula dikeluarkan dahulu adalah seperti di bawah:
Harga MINI Cooper 3-door F56 pra-facelift sewaktu baru | |
---|---|
Varian | Harga |
Cooper | RM 178,888 |
Cooper Chilli | RM 198,888 |
Cooper S | RM 228,888 |
Cooper S Wired | RM 248,888 |
Harga dalam pasaran terpakai sekarang untuk model awal 2014 sampai keluaran facelift (2018) pula adalah seperti berikut:
Harga terpakai buat MINI Cooper 3 Door F56 pra-facelift | |
---|---|
Varian | Julat harga |
Cooper | RM 97k – RM 142k |
Cooper Chilli | Sekitar RM 113k |
Cooper S | RM 120k – RM 150k |
Cooper S Wired | Sekitar RM 140k |
Varian mana yang patut anda beli?
Sebenarnya, bergantung pada berapa banyak yang anda mahu, Kalau anda hanya nak gaya, varian Cooper sahaja sudah cukup.
Apapun, kalau boleh, pilih versi Chilli kerana ciri tambahan yang ada sememangnya berbaloi dengan harganya.
Kalau anda mahu lebih, pilih terus varian Cooper S tetapi seandainya anda jumpa versi Wired dengan harga yang tidak juah beza, sambar terus.
Yang bestnya tentang varian Chilli dan Wired adalah ia datang dengan program MINI Service Inclusive 3 tahun. Jadi dari tahun-tahun awal lagi, pemilik asalnya sudah tentu menghantarnya ke pusat servis rasmi, bukannya bengkel luar.
Satu lagi, kalau boleh, cari unit yang diimport masuk oleh MINI Malaysia yang mana ia ada rekod servis penuh. Kalau recond Jepun/UK, takut ada isu perbatuan yang ditipu pula.
Isu umum dan kos penjagaan
Kami telah bercakap dengan rakan dan perunding BMW / MINI di Munich Precision dan menurut mereka, MINI generasi F56 sebenarnya tidak masalah. Kuncinya adalah penyelenggaraan yang mengikut jadual yang ditetapkan.
Apapun, terdapat beberapa pemilik enjin B38 yang mengalami isu kegagalan turbo dan kalau terkena, kos mengganti yang dikenakan adalah sekitar RM 3,800.
Tetapi senang cerita, penyelenggaraannya lebih kurang sama dengan kereta BMW yang pakai enjin B38 atau B48.
Juga baca: Minat BMW? RM 100k untuk BMW 3 Series generasi F30, ini panduan membeli BMW terpakai
Kos servis dan penjagaan untuk MINI Cooper F56 | ||
---|---|---|
Perkara / Servis (perbatuan) | Kos | Item |
Servis biasa (10,000 km) | ~RM 500 | Minyak pelincir + penapis |
Servis transmisi (45,000 km) | ~RM 900 | Minyak ATF + penapis |
Servis brek (45,000 km) | ~RM 250 | Bendalir brek |
Spark plug (100,000 km) | ~RM 500 | Palam pencucuh |
Cecair penyejuk (100,000 km) | ~RM 350 | Pengantian cecair penyejuk |
Penapis udara (45,000 km) | ~RM 100 | Penapis udara enjin |
Penapis kabin (45,000 km) | ~RM 100 | Penapis zarah dan hama |
Namun, apa yang penting adalah sebelum anda membeli, cuba dapatkan dahulu pemeriksaan penuh dari bengkel yang pakar atau Munich Precision sendiri yang mana mereka mengecas hanya RM 200.
Konklusi
Bagi anda yang belum tahu, BMW Group pada tahun 2019 telah mencapai satu sejarah yang mana MINI telah terjual sebanyak 5 juta di seluruh dunia.
Bagi anda yang sudah lama mengidamkan ikon hatchback kompak yang terkenal ini, generasi ketiga iaitu F56 adalah antara model paling tahan lama dan kurang bermasalah yang pernah MINI keluarkan.
Kepada yang berminat, Carlist atau Carsome khususnya ada banyak unit terpakai yang dijamin dalam keadaan baik kerana setiap daripada kereta ini telah menjalani pemeriksaan 175-mata sebelum mendapat pengiktirafan Carsome Certified.
Dalam masa yang sama, setiap pembelian turut datang dengan jaminan pulangan wang selama 5 hari serta waranti 1 tahun.
Source: Mini Cooper F56 terpakai – hatchback go-kart jalanan, apa benda kena tahu & berapa kos untuk baiki?
More Stories
Hellstar Streetwear: Gear Up to Stand Out
Turkey Visa Free Countries and Process
Allison Transmission for Off-Roading: Performance Insights and Upgrades