Mercedes-Benz E-Class E300 W213 facelift merupakan antara sedan eksekutif terbaik yang anda boleh beli hari ini. Bagi anda yang belum tahu, E-Class facelift telah memperbaiki beberapa isu yang ada pada model pra-facelift, terutama dari segi keselesaan pemanduan.
Bagi anda yang belum tahu, E-Class sebelum beransurnya model facelift ditawarkan dengan pelbagai varian yang mana selain varian hibrid plug-in pada E350e, terdapat E200, E250, E300, dan E350.
Kembali kepada E-Class facelift, E300 yang berharga RM 397,888 menampilkan pakej imej bisnes, nilai dan kemudahan pemanduan yang cukup seimbang. Malah bagi kami, E-Class varian atas ini adalah model Mercedes-Benz Malaysia (MBM) terbaik sekarang ini kerana ia menawarkan kemewahan, tarikan perniagaan, nilai yang berbaloi, keselesaan dan juga prestasi, semua dalam satu pakej yang cukup menawan.
Juga baca: Mercedes-Benz S-Class (W223) 2021 serba baru dilancar di Malaysia – PHEV, beg udara belakang
S-Class pula tidak dinafikan lebih ‘atas’ tetapi nak memandu kereta sebesar itu sudah jadi leceh. C-Class baharu pula boleh diterima tetapi kalau anda dah tahap nak cari E-Class, pasti C-Class sudah tidak lagi relevan.
Tetapi kalau anda betul-betul nak berjimat, bagaimana dengan varian E200?
Untuk makluman anda, E200 bermula dari harga RM 345,888, kiranya RM 52,000 lagi murah daripada E300.
Tidak sebagus E300 tetapi anda akan tetap bahagia
Secara teknikal, kedua-dua E200 dan E300 menggunakan enjin 2.0L turbo M264 sama tetapi dengan talaan yang berbeza iaitu 197 PS/320 Nm untuk E200 dan 258 PS/370 Nm untuk E300. Kuasa dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik 9 kelajuan.
Kuasa yang lebih banyak pada E300 sememangnya syok untuk dilayan tetapi untuk pemanduan harian, perbezaan prestasinya dengan E200 tidaklah begitu besar. Yang penting, E200 ada kuasa yang cukup untuk memotong secara bersahaja. Nak kekal pada kelajuan tinggi pun macam bersantai sahaja.
Kereta yang santai, tahap keselesaan yang sama seperti E300
Untuk makluman anda, dari segi keselesaan, penambahan RM 52k untuk E300 tidak memberikan perbezaan yang besar kerana kedua-dua varian menggunakan Agility Control Suspension.
Suspensi ini sebenarnya jenis adaptif tetapi tetapannya tidak boleh dilaras (kalau nak, anda perlu Dynamic Body Control atau Airmatic). Kalau anda nak tahu, mod memandu pada E200 dan E300 facelift hanya melaras program enjin dan transmisi.
Masuk ke bahagian dalam pada E200, anda disambut dengan bahan kabin yang berkualiti tinggi melalui trim kayu open pore black ash, tempat duduk kulit Artico dan kluster digital kembar 12.3 inci, sama seperti E300.
Tetapi apa yang eksklusif pada varian E300 adalah ciri bumbung suria panoramik, sistem audio Burmester, pengecas nirwayar untuk telefon pintar, roda stereng AMG, tempat duduk kulit tulen dan penyaman udara automatik 3-zon. Walaupun dengan ciri tambahan, pengalaman berada dalam kabin sebenarnya rasa sama sahaja di antara mereka.
E200 lebih bagus daripada BMW 520i yang sudah tiada
Sebenarnya, kalau anda ingin memiliki sebuah sedan eksekutif tetapi tidak mahu bayar sehingga RM 400k, E200 sahaja yang ada dalam pasaran sekarang.
BMW Malaysia sendiri sudah menghentikan varian 520i. 5 Series yang ada sekarang hanya varian 530e hibrid plug-in M Sport (RM 358,217) dan 530i M Sport (RM 402,800).
Anda takkan rasa lagi miskin sampailah masuk gear ‘R’
Di sinilah saat yang anda akan rasa bahawa E200 lebih ‘bawah’ daripada E300 iaitu sebaik sahaja anda masuk gear undur kerana ia tiada kamera 360-darjah. Menariknya, E200 sebelum ini memang ada ciri tersebut.
Yang tak tahannya, kalau anda mendekati sesuatu pada kelajuan rendah, kamera parkir akan dihidupkan. Tetapi disebabkan E200 tiada kamera 360-darjah, skrin MBUX yang dicipta khas untuk kamera 360-darjah akan memaparkan kamera belakang sahaja, iaitu ketika anda pandu ke hadapan. Pelik kan?
Apapun, ini sahaja yang dapat kami rungut.
Selain itu, segala isu yang ada pada E200 – ruang kaki kiri pemandu yang sempit, posisi duduk yang kekok (tidak seteruk C-Class W205) dan butang stereng jenis kapasitif yang susah untuk diguna juga turut ada pada varian E300.
Konklusi
Mercedes-Benz E200 W213 facelift merupakan antara kereta varian pengenalan yang tidak rasa asas langsung.
Tidak dinafikan E300 sememangnya lebih bagus tetapi kalau anda rasa bahawa RM 52k (cukup untuk beli sebuah Perodua Myvi) itu boleh digunakan untuk benda lain yang lebih bermanfaat, tidak rugi kalau anda jimat dan beli E200 sahaja. Lagipun, ia tetap sebuah Mercedes-Benz.
Kalau anda hendak jimat lagi, Carsome ada banyak E-Class terpakai yang berkualiti dan dijamin dalam keadaan yang baik kerana telah diiktiraf dengan Carsome Certified melalui pemeriksaan 175-mata.
Dalam masa yang sama, setiap pembelian juga lengkap dengan waranti 1 tahun serta jaminan pulangan wang selama 5 hari.
Source: Mercedes-Benz E200 W213 facelift – kedekut tambah RM 52k untuk E300, atau pilihan lebih waras?
More Stories
Hellstar Streetwear: Gear Up to Stand Out
Turkey Visa Free Countries and Process
Allison Transmission for Off-Roading: Performance Insights and Upgrades