Honda Vietnam perkenal Honda Winner X Sport Version (2023), kemas kini kosmetik, harga RM 9.3k!

Sebagai negara ‘debut premiere’ global Super moped Honda Winner X atau dikenali Honda RS-X di Malaysia, pengguna di pasaran Vietnam dilimpahi pelbagai varian model hangat berkenaan dan terbaharu, Honda Winner X Sport Version (2023).

Penambahan varian Honda Winner X Sport Version (2023) itu meningkatkan pilihan Honda Winner X di Vietnam kepada tiga selain Special dan Standard Version.

Juga baca: Penantian berakhir, Honda RS-X 2021 dilancar, harga asas RM 8,688!

Sebagai varian istimewa, Honda Winner X Sport Version (2023) datang dengan pilihan skema warna tunggal yang menarik iaitu gabungan Merah, Hitam dan Putih.

Ia turut dilengkapi dengan corak grafik yang lebih segar terutama dengan tulisan ‘X’ di bahagian fairing.

Agak mengecewakan, tiada perubahan dari sudut rekaan dijalankan terhadap Honda Winner X Sport Version (2023) berbanding varian lain dengan harga yang ditawarkan juga sama dengan varian Special Version iaitu VND 50,560,000 (RM 9,311) mengikut kadar tukaran semasa.

Juga baca: Honda Winner X Limited Edition 2021 dilancar di Vietnam. Tanpa ABS!

Sebagai info, ada kelainan membabitkan Honda Winner X dan Honda RS-X di Malaysia di bahagian rekaan kerana di pasaran Vietnam, lampu signal depan disepadukan dengan fairing.

Manakala Honda RS-X masih menggunakan lampu signal depan capang serta di bahagian teknologi.

Mengulas trenkuasa, Honda Winner X Sport Version (2023) kekal dengan enjin bersesaran 149.1 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api PGM-Fi, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 15.4 Hp pada 9,000 rpm, dengan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm. 

Di pasaran Vietnam, Honda Winner X Sport Version (2023) dipadankan dengan sistem Honda Smart Key serta beberapa lagi ciri standard seperti soket pengecas USB dan menggunakan rantai jenis O-ring.

Sistem brek menggunakan brek cakera depan dan belakang dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) satu saluran.

Di pasaran Malaysia, pihak Boon Siew Honda pada April lalu melancarkan Honda RS-X versi Repsol Edition 2022 yang dikeluarkan dalam unit terhad 5k namun melihat kepada laman web syarikat itu, ia berkemungkinan sudah habis disambar.

Menurut perkembangan media luar negara, Honda dikatakan sedang menyiapkan Honda Winner X yang lebih berkuasa menggunakan trenkuasa baharu seperti yang dipadankan kepada beberapa model seperti Honda ADV 160, Honda Vario 160 dan PCX 160. Sama-sama kita tunggu.

Juga baca: ‘Goyang’ dengan Exciter 155 VVA! Honda Winner X bakal lebih berkuasa, canggih?

Source: Honda Vietnam perkenal Honda Winner X Sport Version (2023), kemas kini kosmetik, harga RM 9.3k!