Alang-alang nak beli kereta premium, apa kata ambil SUV terus? Mungkin inilah yang selalu bermain di fikiran pembeli kereta pada harga di atas RM 300k.
Pada harga sekitar Mercedes-Benz C-Class baharu, apa kata jika anda terdetik untuk menaik taraf gaya hidup. Adakah Porsche sesuai? Ya, Porsche Cayenne 958 (generasi kedua) kini bermula pada harga tersebut. Cuma mampukah anda?
Porsche Cayenne adalah keputusan perniagaan yang sangat genius, malah ia memaksa hampir kesemua pengeluar kereta premium lain untuk melawan trend dan mengikutinya dengan pandangan mereka sendiri. Semua jenama daripada Bentley, Aston Martin, Rolls Royce, Lamborghini, Maserati dan kini Ferrari turut menyertainya.
Sekali lagi, sama seperti semua kenderaan premium, susut nilai adalah inzal anda dan harga untuk Porsche Cayenne terpakai akan meyakinkan anda untuk mengambil kesemua risiko hanya untuk memparkir Porsche di anjung rumah anda.
Ini bukan 911 tetapi Porsche adalah Porsche; tidak kira model apa sekalipun. Ia mempunyai pengendalian seimbang untuk ke kedai runcit dengan mudah pada masa yang sama masih memberikan senyuman ketika anda memandu ke Casino De Genting Genting Premium Outlet.
Dalam panduan kali ini, Wapcar.my akan meneroka model Porsche Cayenne generasi kedua facelift. Turut dikenali dengan kod casis 985, model facelift ini selalu dirujuk sebagai 958.2. Model ini dipilih kerana ia masih boleh dibeli melalui pinjaman kenderaan.
Alasan terbaik untuk mempertimbangkan Cayenne 958
Tiada siapa yang membeli SUV kerana dinamik pemanduannya tetapi jika anda hanya mahu satu kenderaan untuk melakukan segala-galanya – SUV adalah jawapannya. Cuma, Porsche Cayenne menawarkan lebih lagi dengan lambang berprestij dan dinamik pemanduan.
Porsche Cayenne 958 diasaskan pada platform VW PL72 yang dikongsi dengan Volkswagen Touareg. Asal-usulnya memang kedengaran sederhana tetapi itu sebelum jurutera Porsche melambai tongkat ajaib ke atas SUV ini.
Ia lebih besar dan luas daripada generasi terdahulu tetapi model generasi kedua ini kelihatan lebih kecil secara visual dengan isyarat reka bentuk dan juga pengurangan berat sehingga lebih 200 kg, hasil daripada bahan binaan yang ringan. Kebanyakan penjimatan berat ini datang daripada pengguguran transfer case pacuan empat roda.
Porsche Cayenne 958.2 datang pada tahun 2015-2018 dan menyaksikan perubahan besar dalam ruang enjin yang akan dibincangkan lebih mendalam nanti.
Tips ringkas, cara paling mudah untuk membezakan Porsche Cayenne 958.2 adalah melalui lampu depan yang kini didatangkan dengan DRL LED empat bucu jenama itu. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa ini adalah eksklusif untuk model import rasmi Porsche dari Sime Darby Auto Performance (SDAP) manakala beberapa unit import recond tidak disertakan dengan lampu utama ini.
Apa apa pun, Porsche Cayenne adalah sebuah SUV yang sangat berkemampuan dalam menangani selekoh atau hanya memecut di lebuh raya. Ia juga mampu menangani jalan off-road ‘geli-geli’ dengan agak mudah. Cuma jangan disamakan pula dengan kebolehan Land Rover Defender.
Sudah tentu, terdapat banyak teknologi dan ciri kelengkapan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu dengan beban yang banyak ini pada setiap bahagian hadapan. Suspensi udara adaptif, Kawalan Casis Dinamik Porsche (PDCC) dan Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM) semuanya digabungkan untuk menjadikannya berkemampuan merentasi spektrum keperluan permotoran yang begitu luas.
Akhir sekali, tahukah anda bahawa rekod pusingan SUV untuk Nurburgring dipegang oleh Porsche Cayenne generasi ketiga? Terbukti mantap.
Berapa banyak varian Porsche Cayenne 958 di luar sana?
Seperti yang kami nyatakan di atas, Porsche Cayenne 958.2 melihat perubahan besar di bawah bonet depan tetapi sebelum itu, berikut adalah rujukan pantas mengenai pelbagai varian Porsche Cayenne.
- Base model – Model asas
- S – Sekitar 30% lebih kuasa
- GTS – Lebih sporty dari S
- Turbo – Lebih kuasa
- Turbo S – Paling berkuasa
- Hybrid – Sporty dengan penjimatan minyak
- Diesel – Jimat minyak dan tork tinggi
Model Porsche Cayenne 958.2 menyaksikan enjin V8 digugurkan daripada Cayenne S dan GTS yang popular; digantikan dengan enjin V6 3.6 liter turbo berkembar yang lebih berkuasa dan lebih cekap. Oleh itu, jika anda mahukan enjin V8, beli model Turbo atau Turbo S.
Kesemua varian menggunakan transmisi automatik Tiptronic 8-kelajuan.
Varian Porsche Cayenne 958.2 | ||
---|---|---|
Varian | Enjin | Kelajuan maksimum dan masa 0-100 km/j |
Cayenne Diesel | V6 3.0-liter turbo (245 PS dan 550 Nm) | 221 km/j dan 7.3 saat |
Cayenne S Diesel | V8 4.2-liter turbo (385 PS dan 850 Nm) | 252 km/j dan 5.4 saat |
Cayenne | V6 3.6-liter (300 PS dan 400 Nm) | 230 km/j dan 7.7 saat |
Cayenne S | V6 3.6-liter turbo berkembar (420 PS dan 550 Nm) | 259 km/j dan 5.5 saat |
Cayenne S E-Hybrid | V6 3.0-liter supercharge PHEV (416 PS dan 590 Nm) | 243 km/j dan 5.9 saat |
Cayenne GTS | V6 3.6-liter turbo berkembar (440 PS dan 600 Nm) | 262 km/j dan 5.2 saat |
Cayenne Turbo | V8 4.8-liter turbo berkembar (520 PS dan 750 Nm) | 279 km/j dan 4.5 saat |
Harga pasaran Porsche Cayenne 958.2 terpakai
SUV premium seperti Cayenne adalah calon utama untuk model recond justeru pasaran kita penuh dengan model di mana kebanyakan model ini datang dari Eropah, terutamanya UK.
Adakah model recond yang berharga lebih rendah daripada Porsche Cayenne yang diimport secara rasmi memberi kesan kepada prestasi? Ini akan dibincangkan kemudian.
Tidak mengejutkan, carian pantas dalam talian akan menemui Porsche Cayenne Diesel 2015 sebagai varian paling berpatutan diikuti oleh Cayenne Base Model sebelum harganya mula naik lebih pantas daripada harga petrol RON97 hari ini.
Sebagai panduan, Porsche Cayenne 958.2 Diesel bermula sekitar RM 300,000 manakala Porsche Cayenne Base Model dengan enjin V6 3.6 liter bermula lebih tinggi sedikit sekitar RM 340,000. Dari sini, ia boleh mencapai harga RM600,000 untuk Porsche Cayenne Turbo pada tahun terakhirnya; 2018, sebelum kehadiran model generasi ketiga.
Varian Porsche Cayenne 958.2 mana yang disyorkan?
Secara mudahnya, pemilihan varian adalah berdasarkan jumlah wang di akaun bank anda kerana aspek harga dan varian meningkat secara langsung.
Walaupun ia mungkin mengecilkan pilihan yang sedia ada, kami ingin menekankan bahawa anda harus sentiasa mengutamakan unit yang diimport secara rasmi oleh SDAP. Ya, tak banyak model rasmi SDAP di pasaran terpakai tetapi dengan sedikit kesabaran, anda akan menerima ganjaran.
Hal ini kerana unit SDAP telah disesuaikan dengan iklim tropika kita justeru lebih tahan. Kebanyakan model gray import datang dari pasaran dengan iklim yang lebih sejuk dan mungkin tidak sesuai untuk variasi suhu ekstrem yang kita lihat di sini; sesuatu yang akan terbukti dengan masa.
Pilihan yang kami syorkan? Porsche Cayenne S dengan enjin V6 3.6 liter turbo berkembar dengan 420 PS dan 550 Nm – sangat menyeronokkan untuk sebuah SUV. Tidak yakin? Bagaimana pula dengan kelajuan tertinggi 259 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.5 saat sahaja.
Ia adalah varian pertengahan yang seimbang antara semua varian.
Sehubungan itu, Porsche Cayenne GTS juga layak disyorkan memandangkan ia menawarkan rangkaian kuasa yang sama tetapi dengan sedikit peningkatan.
Walau bagaimanapun, kami menganggap Cayenne S lebih mudah ditemui tetapi kedua-duanya masih merupakan suatu menjadi pembelian yang wajar.
Masalah biasa dan kos penyelenggaraan Porsche Cayenne 958
Susut nilai melanda kereta premium pada kadar yang paling teruk. Tahukah anda mengapa? Kerana masalah dan kos penyelenggaraan kereta premium terpakai adalah suatu permainan yang berbeza dan mungkin sukar dipertahankan oleh akaun bank anda.
Namun di suatu sisi lain, pasaran terpakai telah membawa kepada pengalaman dan kepakaran yang berkembang pesat bagi bengkel pakar Porsche bebas yang mungkin dapat menyelamatkan poket anda daripada kebocoran. Paling penting, bengkel bebas ini mampu melakukan diagnosis dan pemeriksaan penuh untuk memastikan keadaan kenderaan terbaik sebelum anda membelinya.
Sebelum anda mengambil keputusan untuk menyambar sebuah Porsche Cayenne, kami menekankan beberapa langkah berikut.
Pertama, seperti yang kami nyatakan sebelum ini, sasarkan unit yang diimport secara rasmi. Ini juga memberikan anda rekod perkhidmatan daripada SDAP. Cukup untuk mengelakkan demam-demam tak berduit di penghujung hari.
Jangan takut dengan unit terpakai yang mempunyai jarak perbatuan tinggi. Adalah lebih baik untuk membeli Porsche Cayenne rekod perkhidmatan terperinci walaupun jarak perbatuan tinggi berbanding unit dengan jarak perbatuan rendah tetapi tidak mempunyai rekod servis atau diragui.
Sebagai sebuah Porsche, tiada penyelesaian murah untuk sebarang masalah.
Apabila dipandu uji, perhatikan peralihan transmisi dengan teliti. Peralihan ‘gear’ yang tersentak atau klac tergelincir adalah simptom transfer case yang rosak. Masalah ini selalunya, berdasarkan senario terbaik, adalah disebabkan oleh minyak pelincir yang telah tercemar dan kebanyakan pakar mengesyorkan Ravenol; jenama yang terbukti.
Senario terburuk? Kes baik pulih transfer case baharu memerlukan sekitar RM 15,000 daripada anda.
Sebilangan pemilik juga mengalami sistem henti mula (start-stop) yang gagal, menyebabkan kereta tidak dihidupkan semula selepas enjin dimatikan pada lampu isyarat atau pada bila-bila masa ia berhenti di jalan raya. Puncanya di sini mungkin adalah pemula (starter) dan unit gantian daripada Bosch akan menelan kos RM 1,800.
Satu langkah pencegahan untuk masalah ini adalah dengan hanya menyahaktifkan sistem mula-henti sebelum memandu.
Dari segi kos penyelenggaraan, ia ancaman sama pada dompet. Tugas seperti penukaran minyak dan aspek penyelenggaraan berjadual lain akan menelan lebih banyak wang namun untuk memastikan Porsche Cayenne pada prestasi puncak, anda tidak seharusnya berjimat untuk aspek ini.
Jadual penyelenggaraan Porsche Cayenne 958 memerlukan penukaran minyak pada 10,000 km. Satu aspek yang menjadi perhatian utama ialah minyak pelincir transmisi yang sepatutnya “tahan seumur hidup”. Dakwaan ini disanggah oleh mana-mana pakar Porsche justeru penapis transmisi dan minyak disyorkan ditukar sekurang-kurangnya setiap 80,000 km. Jika anda mengabaikan aspek ini, ia mungkin akan menelan kos sebanyak harga sebuah Proton Saga.
Jangkakan komponen haus pada brek dan tayar yang sedikit cepat jika Cayenne itu selalu dipandu, lebih lagi model V8 turbo berkembar. Hal ini berkait rapat dengan berat ‘gergasi’ ini lantas jangan berjimat pada tayar dan brek. Kos tayar baharu adalah sekitar RM 1,300 seunit, darab dengan empat tayar sekiranya diperlukan.
Berikut adalah kos selenggara Porsche Cayenne mengikut buku panduan:
Sela servis Porsche Cayenne 958 | ||
---|---|---|
Sela jarak | Komponen | Harga |
10,000 km | Minyak enjin + penapis | RM 1,400 |
20,000 km | Minya brek | RM 500 |
30,000 km | Palam pencucuh (Turbo) | RM 1,000 |
40,000 km | Palam pencucuh (V6) | RM 1,000 |
40,000 km | Penapis udara | RM 900 |
80,000 km | Brek (standard / PCCB) | RM 3,000 – 10,000 |
80,000 km | Minyak ATF + penapis | RM 3,000 |
100,000 km | Minyak pelincir differential | RM 2,000 |
100,000 km | Penyerap hentak Active air | RM 12,000 – 25,000 |
Konklusi
Kenyataan ini mungkin kedengaran klise namun hakikatnya tak banyak SUV prestasi yang mampu setaraf dengan Porsche Cayenne. SUV inilah yang menjadi perintis kepada segmen SUV prestasi dan menjadi model terlaris Porsche kebelakangan ini. Sebuah epitome terhadap reputasinya.
Anda boleh membawanya ke mesyuarat kerja dan pada masa yang sama masih mampu memberikan dinamik pemanduan yang sedap jika diperlukan.
Prestij jenama Porsche, sekurang-kurangnya di Malaysia, sudah tentu akan memberikan status kemewahan satu tahap lebih tinggi di mata umum. Lihat sahaja kos penyelenggaraan dan baik pulih yang disenaraikan – betapa tinggi harga yang perlu dibayar untuk prestij jenama itu sendiri.
Baca: Kini RM 115,000 lebih murah, beginilah rupa langsung Porsche Cayenne E3 CKD, SUV prestasi!
More Stories
Billionaire Studios Clothing: The Intersection of Luxury and Streetwear
The Essentials Hoodie: The Perfect Blend of Comfort and Design
Expert Guidance: Benefits of Consulting a Psychiatrist For Anxiety Disorders